Monday, September 5, 2011

EMAK AKU SEORANG PEMBOHONG

Petikan email dari seorang kawan: terima kasih sahabat.

Memang sukar untuk orang lain percaya, tapi itulah hakikatnya. Emak aku memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan aku sekurang-kurangnya LAPAN (8) kali emak membohongi aku. Aku perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan buat yang lain-lain.

Aku lahir di dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, aku selalu merungut. Aku menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi emak cepat memujuk. Ketika makan, emak selalu berikan bahagian nasinya pada aku. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk aku, emak berkata “Ambik nasi ni, emak dah kenyang.” (1)

Ketika aku mulai besar emak yang selalu gigih pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Dari hasil pancing itu lah emak dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, emak memasak gulai ikan segar yang amat berselera. Emak akan duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih tinggal di tulang daripada bekas sisa ikan yang kami makan. Aku sedih melihat emak seperti itu. Hati aku tersentuh lalu dengan menggunakan sudu aku berikan ikan itu kepada emak. Tapi emak dengan cepat menolaknya. “Makanlah nak, emak tak suka makan ikan.” (2).
Di usia awal remaja semasa aku bersekolah menengah, emak pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan aku dan adik. Pada satu ketika  lebih kurang jam 1.30 pagi aku terjaga dari tidur dan aku nampak emak membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali aku melihat kepala emak terhangguk kerana mengantuk. Aku menyuruh emak tidur sebab lepas subuh nanti emak akan ke kebun pula. Emak tersenyum. “Pergilah tidur nak, emak tak mengantuk lagi.” (3)

Di hujung musim persekolahan, emak akan berhenti membuat sebarang kerja di waktu siang kerana menemani aku ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, emak tetap terus sabar menunggu aku di luar dewan. Emak seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Allah agar aku lulus ujian peperiksaan dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, emak dengan segera menyambut aku dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang emak yang jauh lebih kental. Melihat tubuh emak yang dibasahi peluh, aku segera memberikan cawan aku itu kepada emak dan menyuruhnya minum. Tapi emak cepat-cepat menolaknya. “Minumlah nak, emak tak dahaga” (4)

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas aku baru beberapa bulan dilahirkan, emaklah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Emak bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang emak. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, saudara-saudara ema dan jiran-jiran sering kali menasihati emak supaya menikah lagi tetapi emak tetap menolak. “Tak apa, aku boleh besarkan anak-anak aku sendiri. Aku tak perlukan sesiapapun.” (5)

Emak semakin tua. Kami menyuruh emak berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi emak tidak mahu. Emak masih mahu ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. “Emak masih kuat. Emak suka bekerja dan emak tak suka duduk saja di rumah.” (6)

Berkat usaha gigih untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu, aku dapat melanjutkan lagi pelajaran ke luar negara. Aku berjaya dengan cemerlang dan ditawarkan kerja dengan gaji yang agak lumayan. Aku mengajak emak tinggal dengan aku di kotaraya tetapi emak yang baik hati, menolak ajakan aku. Aku yakin emak tidak mahu menyusahkan aku. “Tak payahlah, Emak tak biasa tinggal di pekan besar.” (7)

Beberapa tahun berlalu, emak semakin tua. Suatu malam aku menerima berita emak diserang penyakit kanser. Emak mesti dibedah secepat mungkin. Aku yang ketika itu berada jauh di luar negara terus segera pulang untuk menjenguk emak. Aku melihat emak terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Emak yang kelihatan sangat tua, menatap wajah aku dengan penuh kerinduan. Emak menghadiahkan aku sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya. Aku dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh emak sehingga emak menjadi terlalu lemah dan kurus. Aku menatap wajah emak sambil berlinangan air mata. Aku cium tangan emak kemudian aku kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati aku terlalu pedih, sakit sekali melihat emak dalam keadaan seperti ini. Tetapi emak tetap tersenyum.  “Jangan menangis nak, emak tak sakit.” (8)

Jaga lah ibubapa kita selagi mereka masih hidup. Ungkapkan lah kata-kata manis pada mereka. Tapi tidak aku. Biarpun aku mengasihi emak lebih dari segala-galanya tapi sehingga kini aku rasa bersalah yang amat sangat kerana tidak pernah sekalipun aku membisikkan kata-kata itu ke telinga emak. Emak, maafkan aku.

No comments:

Post a Comment